Liberalisme dan pluralisme, virus perosak jatidiri anak muda.

24 Februari 2014


Kira-kira seminggu yang lepas satu web portal berita telah memaparkan satu artikel yang bertajuk “Liberalisme, pluralisme anak muda semakin melebar” telah tersebar di laman social. Tertarik dengan tajuk, saya terus membuka link artikel untuk mengetahui apa yang cuba dibincangkan. Sedikit pun tidak memeranjatkan saya apabila kelihatan gambar dua orng tokoh anak muda yang tidak asing lagi menimbulkan berbagai kontroversi dalam kalangan mahasiswa beberapa tahun yang lepas. Sekarang mereka cuba pula untuk membawa idealogi-idealogi sesat yang kita sedia maklum bertentangan sekali dengan norma kehidupan dan syariat yang digariskan Islam. Kita juga maklum khalid ismath adalah penganut agama Syiah yang sememangnya terkeluar daripada landasan islam yang benar.

Sebelum menyentuh lebih jauh, apakah sebenarnya liberalisme dan pluralisme yang kononnya mendapat tempat dalam kalangan anak muda seperti yang dinyatakan oleh kedua-dua anak muda ini? Sudah banyak sebenarnya diperbincangkan sebelum ini hal-hal yang berkaitan dengan fahaman dan idealogi liberalisme dan pluralisme ini.

Secara ringkasnya golongan liberalisme dan pluralisme ini tidaklah menzahirkan diri mereka sebagai golongan yang menolak agama secara total tetapi berselindung disebalik satu idealogi atau gagasan yang mentafsir semula al-Quran, mengkaji semula agama, menila semula syariat dan hukum-hakam feqah. Golongan-golongan pro liberalisme ini menolak segala tafsiran-tafsiran berkaitan agama islam termasuk hal yang telah menjadi ijma’ ulama termasuk tafsiran daripada Rasullulah dan para sahabat serta ulama mujtahid kerana beranggapan tafsira-tafsiran seumpama ini adalah lama dan kolot serta tidak selari dengan perkembangan idealogi semasa sekalipun terpaksa menafikan hukum-hakam dan peraturan agama yang telah disabitkan dengan nas-nas syarak secara qat’ie. Seandainya hukum hakam itu tidak selari ataupun tidak menepati zaman, kemodenan, tanamdun global dan hak-hak manusia, hukum itu hendaklah seboleh-bolehnya ditolak secara total.

Sebenarnya, idealogi liberalism ini adalah lanjutan daripada fahaman modernisme islam yang telah muncul pada awal abad ke-19. Modernisme ini telah teracun dengan cara fikir barat yang berteraskan humanisme, sekularisme, rasionalisme dan liberalisme itu sendiri. Konsep-konsep ini sebenarnya refleksi kepada jiwa yang tidak beriman kerana kecewa dengan agama.

Ciri-ciri pemikiran islam liberal menurut khalif Muammar adalah seperti berikut:

1.       Pluralisme agama
2.       Penolakan terhadap syariah
3.       Rasionalisme dan sekularisme
4.       Penolakan terhadap autoriti keagamaan
5.       Kebebasan mentafsir teks-teks agama islam
6.       Tiada dakwaan kebenaran (faham relativisme).
7.       Mempromosikan nilai-nilai Barat.
8.       Pembebasan Wanita.
9.       Mendukung demokrasi liberal sepenuhnya.

Realitinya di Malaysia, fahaman-fahaman seumpama ini banyak dipelopori oleh ngo-ngo seperti Sisters in Islam (SIS), Islamic renaissance front (IRF), Institut kajian Dasar (IKD) dan lepak maqasid. Fahaman-fahaman seumpama ini yang berselindung disebalik hak asasi manusia, hak asasi rakyat, hak minority dan sebagainya menyebabkan ianya sukar dikesan oleh kebanyakan anak-anak muda dan mudah terjebak dengan kefahaman seumpama ini.. Lepak maqasid contohnya memberi ruang kepada sesiapa sahaja untuk melontarkan idea-idea dan fahaman-fahaman yang tersasar jauh dripada ruang lingkup syariat dan disiplin ilmu yang benar kerana hak dan kebebasan berfikir menggunakan logic akal semata-mata tanpa panduan wahyu. Natijahnya lahirlah pemuda-pemuda yang bebas berfikir sehingga ada sesetengahnya bercita-cita untuk melawan kuasa tuhan atau menjadi tuhan.  Bagi saya tidak pelik seandainya ada dikalangan anak-anak muda berkopiah/bertudung labuh, pelajar dari darul quran dan sebagainya mudah terjerumus dengan fahaman seperti ini, namun kesedaran haruslah disampaikan kepada mereka agar tidak tejebak lebih jauh lagi

Kebebasan beragama?
Menurut perlembagaan Malaysia, dalam perkara 11(4) ada menayatakan bahawa Undang-undang negeri dan mengenai Wilayah-wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya, undang-undang persekutuan boleh mengawal atau menyekat pengembangan apa-apa iktikad atau kepercayaan agama antara orang-orang yang menganuti agama Islam.

Mengikut undang-undang di Malaysia, menjadi satu kesalahan untuk agama-agama selain Islam menyebarkan fahaman mereka kepada penganut agama Islam, namun begitu, tidak lah menjadi kesalahan bagi penganut agama lain untuk mengamalkan ajaran masing-masing. Kalau mengikut orang-orang yang berfahaman liberal, tidak adil lah agama lain tidak dibenarkan untuk menyebarkan agama mereka. Sepatutnya agama lain juga ada hak yang sama untuk menyebarkan agama mereka. Di negara-negara Kristian lain, mana ada mereka menyekat agama Islam disebarkan.

Bagi saya, itu hanyalah satu ‘statement’ yang melucukan. Tidakkan kita melihat dunia pada hari ini di mana umat islam ditindas di sana-sini. Tidak perlu pergi jauh sehingga ke palestin mahupun negara barat. Lihat sahaja bagaimana saudara-saudara islam kita di Rohingya, selatan Thailand dan tragedy ambun di Indonesia, bagaimana umat islam dibunuh dengan kejam oleh penganut-penganut ekstrimist agama Buddha dan Kristian. Bukan setakat dinafikan hak untuk mengamalkan ajaran islam, tetapi dihalau daripada tanah kelahiran sendiri. Masjid-masjid dibakar dan diruntuhkan. Terkini, pembunuhan umat islam di afrika selatan oleh penganut agama Kristian. Itu masih belum sentuh lagi isu pengharaman pemakaian tudung di perancis dan beberapa negara barat yang lain termasuk juga Malaysia yang sesetengah majikan beragama bukan Islam tidak membenarkan pemakaian tudung kepada pekerja da nada juga yang tidak membenarkan pekerja lelaki Muslim untuk solat Jumaat.

Murtad itu satu hak?
Murtad didefinisikan sebagai meninggalkan agama islam dan keluar daripadanya selepas menganutinya. Murtad merupakan satu kesalahan jenayah hudud yang besar dimana pelakunya boleh dikenakan hukuman bunuh. Daripada perspektif perundangan Islam, tidak ada kebebasan bagi orang yang telah mengaku dirinya Islam. Jika orng-orng yang murtad ini dibiarkan begitu sahaja, orang-orang ini akan menjejaskan maqasid syariah yang pertama iaitu memelihara agama. Manakan tidak dizaman Saidina Abu Bakar As-Siddiq, beliau dengan tegas telah memerangi golongan-golongan yang murtad selepas kewafatan Rasullulah s.a.w.

Namun begitu, seringkali ada sesetengah golongan liberal seperti Farouq Musa (IRF) dan Khalid Jaafar (IKD) seringkali menyalah tafsirkan ayat “la ikra hafiidin-tiada paksaan dalam beragama” sebagai hujah bagi membenarkan orang-orang Islam untuk murtad. Tidak ada paksaan di dalam memeluk islam itu bukanlah memberikan kebebasan untuk seseorng itu keluar daripada agama dan bebas bermain-main dengan agama. Ayat daripada surah Al-Baqarah ayat 256 itu sebenarnya ditujukan kepada orang-orang yang masih belum memeluk Islam bahawasanya tidak ada paksaan baginya untuk memeluk Islam. Namun begitu, setelah memeluk islam, orang Islam akan terikat dengan amaran dan peringan daripada Allah s.w.t dalam surah Al-Baqarah ayat 217 yang bermaksud
“Sesiapa yang murtad di antara kamu daripada agamanya lalu mati dalam kekufuran, maka merekalah yang sia-sia amalannya di dunia dan di akhirat. Dan merekalah ahli neraka yang kekal di dalamnya”
Apa yang kita faham daripada ayat ini, bagaimana menjadi hukuman yang amat berat bagi sesiapa yang murtad dan keluar daripada Islam. Penafsiran yang lari daripada konteks dan mengikut kefahaman aqal semata-mata seperti yang dilakukan oleh kedua-dua tokoh liberal inilah yang sebenarnya membawa kepada salah faham kepada ayat isu tiada paksaan dalam beragama..

Kembalikan jatidiri anak muda.
Golongan-golongan belia atau anak-anak muda ini seharusnya lebih aggresif dalam makna mengembalikan jatidiri dan menjaga diri daripada mudah untuk dipengaruhi oleh idealogi-idealogi yang bertentangan dengan Islam ini. Anak-anak muda seharusnya tidak terlalu ghairah untuk terpengaruh dengan gerakan-gerakan ataupun tokoh-tokoh yang tidak mempunyai agenda perjuangan yang jelas dalam memartabatkan agama Islam. Kaji dan fahamkan secara mendalam agenda yang ingin dibawa. Golongan belia juga dinasihatkan agar bersungguh-sungguh dalam bidang perundangan, falsafah dan syariah. Elemen-elemen ini penting bagi mewujudkan sisi sudut pandang yang sesuai degan neraca Islam dalam konteks negara Malaysia dan mampu untuk mebezakan atara perkara yang Haq dan perkara-perkara yang bhatil. Sebagai seorng mukmin yang beriman dan memahami bahawa Islam itu adalah yang tertinggi dan tidak ada yang lebih tinggi daripada Islam seharusnya merasa Izzah dengan Islam yang dianuti dan tidak meletakkan Islam setaraf dengan agama-agama lain. Jadi, dengan jelas idealogi liberalisme dan pluralisme ini akan mudah ditolak.


Tiada ulasan:

 
Foto saya
Pemuda Kelantan, Eksekutif IT di sebuah syarikat Oil and Gas. seorang musafir mencari bekalan amal untuk meraih Husnul Khatimah, kerana pengakhiran yang baik akan mendapat sesuatu yang baik di sana..hidup untuk mencari keredhaan Allah s.w.t "Tidak aku jadikan jin dan manusia itu melainkan hanyalah untuk beribadah kepadaKu"-51:56

Pengikut

Popular Posts