Segalanya bermula di sini

20 November 2007

Segalanya bermula di sini…


Aku duduk terpaku sendirian mengenangkan peritiwa lalu..


Tahun tu, aku akan menduduki peperiksaan SPM...permulaan ujian selaras pertama aku baik..melepasi target aku..namun, aku masih ingat, adakah aku bersyukur dengan nikmat kurnia Tuhan itu kepada ku? Dalam kelalaian dengan dunia aku sendiri, bergaul tanpa batas antara lelaki dan perempuan, bersuka-ria tanpa memikirkan dosa dan pahala.dan begitulah seterusnya yang membawa diriku terus hanyut. Bagi menambahkan lagi kehanyutan aku, sang bertanduk durjana datang membisikkan siulan kesesatan dan kealpaan dalam diri aku..aku tergapai2..cuba mencari-cari kebenaran..si tanduk terus menerus membisikkan siulan celakanya itu..hati aku jadi tak tenang..semacam satu perasaan aneh datang menikam hati kecil ini..aku hanya mampu berdoa..masa terus berlalu..aku akan menempuhi peperiksaan SPM..aku berdoa siang dan malam agar diri ini dilindungi.. namun dek kerapuhan iman ku, aku kadang2 terjerat oleh jerat yang dilakukan si tanduk yang celaka tu..


Hari berganti hari.. alhamdulilah, doaku untuk melanjutkan pelajaran di Universiti idamanku dimakbulkan Allah..betapa bersyukurnya aku pada masa itu, hanya Allah yang tahu..namun, hati ku masih tak keruan..aku cuba2 menghitung setiap tikah laku ku..cuba mencari kesalahan diri ini..namun, tak juga kutemui..


Targetku sebenarnya ingin melangkah jauh ke overseas..tapi ibuku kurang menyetujui..Aku tahu, ada hikmah disebaliknya.Dengan iman yang rapuh ni, mana mungkin aku dapat bertahan dek dunia yang penuh dengan pancaroba ditambah lagi si tanduk yang tak henti2 mencari mangsanya..


Aku teruskan pengajian aku di Universiti..disampaing tu, aku mencari sesuatu untuk mengisi kekosongan di hati…cuba mendekatkan diri aku dengan Rabb ku…dalam kealpaan seorang diri, mana mungkin aku menjumpainya..


Tiap-tiap minggu aku lihat rumate aku keluar ada program..aku tertanya2 program apakah itu.. aku tahu rumate aku mengikuti Usrah... Sejak tu aku bertekad, aku pun nak join sekali usrah tu..mugkin itulah apa yang aku cari..


Masuk sem 2 di universiti, rumate ku menawarkan aku join usrah..Alhamdullilah, aku dah dimasukkan ke dalam satu grup yang diketuai oleh seorang Murobbi, juga teman sejawatan aku.. pertama kali join halaqah, aku rase malas, benci, suka dan perasaan ini bercampur baur..time halaqah yang diadakan sekali seminggu, aku akan cuba datang lewat..cuba mencari alasan..inilah dia hasutan hebat si tanduk agar aku tidak menuju ke jalan yang benar..


Suatu hari, murobbi aku ajak ke program di masjid..masa ni hanya tinggal beberapa hari sebelum 10 malam terakhir di bulan ramadhan..mula2 aku malas..tapi aku paksakan diri aku pergi..sesampainya disana, majlis baru dimulakan..ramai ikhwah2 universitiku yang datang.. sejak tu, aku mula tertarik untuk mengikuti program yang dianjurkan oleh ikhwah. Kenapa diriku yang malas dan benci dengan perkara-perkara ini boleh tertarik?
Semuanya bermula dari satu ikatan..Ikatan ukhuwah yang subahanallah, sungguh aku tidak pernah melihatnya sebelum ni..tapi sekarang, aku sendiri yang merasainya..betapa hebat dan agungnya ikatan ukhuwah yang dikurniakan Allah ini..aku bersyukur..


Program pertama aku join under ikhwah ialah program ke rumah anak yatim..sungguh, di saat itu, aku begitu teruja dengan sikap setiap ikhwah, tiada yang sombong, berlagak, malah mereka cukup ramah sekali..begitu rapat dengan ikhwah2 junior walaupun ada diantara mereka sudah memasuki tahun akhir..sikap positif dan penuh dengan moral-moral islam ni telah betul2 meruntunkan jiwa aku. Benarlah pesanan murobbi aku “Iman kita ni berkadaran terus dengan Ukhuwah”..biasala, student boarding school mana ada yang “ngam” dengan senior atau junior (mungkin ada juga sesetengah). Aku di sekolah dulu masa jadi junior, selalu kena ragging, jadi bila aku jadi senior, ego aku pun jadi sama juga. Tiada rasa kasih sayang antara junior dan senior..tapi bile aku join aktiviti ikhwah ni, aku terpegun..masyaAllah, betapa hebatnya ukhuwah dan rasa kasih sayang antara mereka ini. Firman Allah “ sesungguhnya, orang-orang mukmin itu bersaudara….” Surah Al-Hujurat ayat ke 10 (49:10).


ikhwah2 ni juga selain itu aktif dalam berdakwah..turun ke sekolah menyebarkan Agama Allah yang maha suci ini..di waktu itu, aku tekadkan diriku..aku akan terus berada dalam jamaah ni..aku tak akan berpaling lagi ke jalan lama ku yang penuh dengan dosa dan noda..jika sebelum ni, aku sering kali keluar bersama-sama kawan perempuan dalam group aku, aku dah hentikan..aku nyatakan perkara sebenar kepada mereka bahawa pergaulan kita salah.seperti firman Allah dalam surah an-Nur ayat ke 30 dan 31 (24:30) “ dan katakanlah kepada laki2 yang beriman agar mereka menjaga PANDANGAN mereka dan KEMALUAN mereka, yang demikian itu lebih baik untuk mereka dan sesungguhnya Allah itu maha mengetahui apa yang mereka lakukan”..alhamdulilah, mereka dapat faham dan aku ajak sekali mereka berubah..namun, aku masih belum lihat keberhasilan..benarlah firman Allah dalam surah Al-Anfal ayat ke 20-21 (8:20-21) “wahai orang-orang yang beriman, taatlah kepada Allah dan Rasul-Nya, dan janganlah kamu berpaling daripada-Nya, padahal kamu mendengar perintah-perintah-Nya” ayat 21 “ dan janganlah kamu menjadi orang-orang (munafik) yang berkata “kami mendengarkan”, padahal mereka tidak mendengarkan (kerana hati mereka mengingkarinya)” dan juga dalam surah Al-A’Raf ayat ke 3 (7:3) “ikutilah apa yang diturunkan dari Tuhanmu dan janganlah ikuti selain Dia sebagai pemimpin. Sedikit sekali kamu mengambil pengajaran”


Dan sesungguhnya, hanya Allah lah yang berhak membuka dan menyinari diri mereka dengan nur hidayah…firman Allah “sungguh, kami telah menurunkan ayat-ayat yang member penjelasan. Dan Allah member petunjuk siapa yang Dia kehendaki ke jalan yang lurus” surah An-Nur ayat ke 46 (24:46).


Aku juga bersyukur dikala rakan-rakan aku leka dengan couple masing-masing, aku masih dilindungi Allah daripada melakukan perkara maksiat itu..walaupun pada mulanya aku merasakan akulah manusia paling malang diantara sahabat-sahabat rapatku kerana tidak mempunyai couple..tapi kini bila aku sedari, nyata, aku lebih beruntung daripada mereka. aku cuba mengingati sahabat aku yang lalai dengan dunia couplenya..aku cuba mendekati dengan cara berhikmah..aku tahu dia punyai ilmu agama..tapi apakan daya, dia tertipu dengan keasyikan dunia, dengan tipu daya syaitan.. sehinggakan dia rase bahawa bile dia bercouple, dia akan lebih rajin study..subahanaAllah.. ya Allah, aku hanya mampu berdoa agar hatinya terbuka untuk berubah..aku sedih, dikala aku diberi hidayah untuk berubah, tetapi rakan2 ku masih terkontang-kanting dalam dunianya yang penuh tipu daya itu.. aku akan tekadkan diri, aku akan terus cuba menasihatinya seperti firman Allah dalam surah Ali-Imaran ayat 104 (3:104) “ dan hendaklah ada diantara kamu segolongan umat yang menyeru kepada kebajikan , menyuruh kepada maaruf dan mencegah kepada yang mungkar; mereka adalah orng2 yang beruntung”…


Dikala ini, aku hanya mampu berdoa dan terus berdoa..agar rahmat yang diberikan Allah ini kekal hingga ke akhir hayat ku..aku sedar, inilah jalanku..inilah cara hidupku..aku akan terus mentarbiyahkan diri aku..dan aku akan berjuang dijalan MU ya Allah, jalan dakwah yang aku cari –cari sebelum ini..jalan hidup yang megisi ruang kekosong hati ini..bantulah aku ke jalanmu Ya Allah..lantas aku teringatkan surah Al-Baqarah ayat 208 (2:208) “hai orang-orang yang beriman, masuklah kamu ke dalam ISLAM KESELURUHANNYA dan janganlah kamu turuti langkah-langkag syaitan, sesungguhnya syaitan itu musuh yang nyata bagimu”…


Ya Allah, tingkatkanlah keimananku serta ketaqwaan ku dan perkukuhi lah ia,
Tingkkatkan lagi rasa cinta ini kepada Mu dan Rasul MU
Jauhkanlah Diri ku dari godaan si durjana yang suka menerkam hati-hati yang suci,
Bantulah aku dalam jalan dakwah ku,
Agar di akhirat kelak, aku terlepas daripada tanggungjawabku.. (" dan (ingatlah) ketika suatu umat di antara mereka berkata," mengapa kamu menasihati kaum yang akan dibinasakan atau diazab Allah dengan azab yang keras?" mereka menjawab "agar kami mempunyai alasan (lepas tanggungjawab) kepada tuhanmu dan agar mereka bertaqwa"-(7:164))
Dan memasuki syurga Mu yang kekal Abadi..

.:: disaat ini, aku begitu bersyukur..dikala aku lemah, ada ikhwah akan membangkitkan semangat aku semula, bila aku leka, ada ikhwah yang akan memberi peringatan kepada aku, ketika aku susah, ada ikhwah yang sudi datang membantu. Begitu hebat sekali ikatan ukhuwah ini. Perkukuhkanlah ikatan ukhuwah antara kami ini ya Allah-doaku.. ::.


Sabda Rasullulah S.A.W : “ Tidak beriman salah seorang diantara kamu hingga dia mencintai saudaranya seperti dia mencintai dirinya sendiri” (hadith riwayat Bukhari dan Muslim)

-Nukilan HAMBA ALLAH-

.::Generasi Rabbani::.

17 November 2007

SEDARLAH REMAJA ISLAM

Satu generasi yang sangat ditakuti oleh golongan kafir…iaitu generasi Rabbani di kalangan umat Islam. Apa generasi Rabbani ini? Generasi Rabbani ialah generasi yang mempelajari Al-Quran dan mengajarkannya. Firman Allah dalam surah Ali Imran,surah 3 ayat 79:
Tidak wajar bagi seseorang manusia yang Allah berikan kepadanya Al Kitab, hikmah dan kenabian, lalu dia berkata kepada manusia: "Hendaklah kamu menjadi penyembah-penyembahku bukan penyembah Allah." Akan tetapi (dia berkata): "Hendaklah kamu menjadi orang-orang rabbani, karena kamu selalu mengajarkan Al Kitab dan disebabkan kamu tetap mempelajarinya.

Generasi inilah yg menyebabkan umat Islam hebat di suatu masa dahulu. Generasi para sahabat dan para tabiin dan tabi’ tabiin..yang kini sudah semakin hilang.
Mengapa generasi ini hilang? Ini semua adalah angkara kafir laknatullah..mereka telah menjauhkan umat Islam sekarang dengan menanamkan penyakit yg telah disabdakan oleh Rasulullah S.A.W. yang akan menjangkiti umat akhir zaman..iaitu cintakan dunia dan takutkan mati. Mereka telah menanamkan penyakit ini dgn menggunakan teknologi-teknologi terkini dan pelbagai alat hiburan. Tv, radio, internet dan media massa adalah antara alat-alat yg digunakan. Mereka memang ingin melenyapkan generasi ini sebagaimana firman Allah dalam surah ke-41 ayat ke-26:
Dan orang-orang yang kafir berkata: "Janganlah kamu mendengar dengan sungguh-sungguh akan Al Qur'an ini dan buatlah hiruk-pikuk terhadapnya, supaya kamu dapat mengalahkan (mereka).

Inilah yg menyebabkan umat Islam sekarang lemah. Kalau dulu Islam sangat disanjungi,dihormati dan digeruni..tetapi sekarang umat Islam disembelih sesuka hati. Dulu para sahabat cintakan akhirat, sanggup mati demi agama untuk syahid mendapatkan syurga.Inilah yang menyebabkan mereka hebat. Hanya takut kepada Allah,terbalik dengan Umat Islam sekarang.

Umat Islam sekarang,cinta dunia. Hidup mereka hanya untuk dunia. Takut untuk mati kerana takut kehilangan dunia yang kononnya indah di pandangam mata mereka. Kerana itu,mereka takut untuk menegakkan kebenaran,takut untuk mengamalkan sunnah, takut untuk mengamalkan Islam yang sebenar. Mereka takut,jika mereka melakukan semua ini, mereka akan kehilangan harta,pangkat, pekerjaan dan juga rezeki. Para ustaz dan ustazah takut utk menegur kerajaan kerana takut dipecat, orang takut mengamalkan sunnah kerana takut digelar pengganas. Secara ringkasnya,mereka takut kepada manusia! Bukan Allah, pencipta manusia!
Sedarlah umat Islam..agama kita sekarang diperlekeh orang..mereka menghina nabi..membunuh rakyat Palestin, Iraq dan banyak lagi umat Islam di serata dunia. Mereka disiksa dan dibunuh dengan kejam. Tetapi kita di sini hidup dengan aman tanpa sebarang tekanan. Bebas mengamalkan agama Islam tercinta ini.

Tetapi benarkah Islam di Malaysia ini selamat? Jika rakyat palestin dan iraq menentang dan mati,insya-Allah mereka akan syahid dan masuk syurga. Tetapi bayangkan jika kiamat tiba-tiba berlaku,apakah umat Islam di Malaysia akan terselamat dan masuk syurga seperti mereka? Fikirkanlah…

Sekarang kalau kita keluar ke masyarakat..kita dapat lihat bermacam-macam gejala sosial dan maksiat yang berlaku. Yang lebih teruk..rata-ratanya berlaku di kalangan umat Islam kita ini sendiri. Maksiat dilakukan terang-terangan,tanpa segan silu, malah sebahagiannya berbangga dengan apa yang mereka lakukan. Langsung tidak berasa salah dengan apa yang dilakukan.
Sekarang maksiat berleluasa. Sana-sini terdapat lelaki perempuan yang berkepit, berjalan-jalan di kompleks membeli-belah laksana suami isteri bahkan lebih dari itu. Yang berzina juga tidak kurangnya. Kelahiran anak luar nikah semakin banyak dan tidak terkawal. Pengalaman seorang rakan saya yg mendengar kawan di kelas tuisyennya berbual. Rakan saya ini telah mendengar mereka berbual mengenai kehebatan mereka yang telah berzina dengan ramai gadis-gadis sebaya mereka. Mereka ini,sudahlah tidak berasa malu malah boleh berbangga dengan apa yang mereka lakukan itu! Pulak tu, kalau ada anak zina dilahirkan, mereka ada yang membuangnya dalam mangkuk tandas, tong sampah dan ada yang menggugurkannya. Apa hendak jadi dengan umat Islam sekarang? Ini adalah salah satu tanda-tanda kiamat sudah hampir. Tidakkah kita sedar?

Seorang senior menceritakan. Dia jual burger untuk dapat duit poket tambahan. Jual bilik ke bilik. Satu malam ni, dia ketuk2 satu bilik ni, tak buka2. Dia pun pulasla tombol dan membuka pintu sndiri. Alangkah terkejutnya dia apabila melihat 2 org siswa itu sedang melakukan perbuatan terkutuk kaum sadom di atas katil. (homoseks) Senior ini kemudian kembali menutup pintu, dan kaku di situ. Teruk?

Ada banyak lagi cerita. Sampai tak larat saya hendak mnceritakan. Ada remaja yang ditangkap berzina dalam surau (pelajar sekolah agama). Ada perempuan 14 thn paksa boyfriendnya yang baru 12 thn buat hubungan seks dengannya. Dan banyak lagi..

Kawan saya, masa baru habis SPM buat part time, ajar tution budak2 skolah rendah. Dia nampa budak2 ni handphone nye, N-Gage, sabun, daun dan yang lain2 yang mahal2 tu. Dia pulak 3310 je. Bukan tu yang nak jd ceritanya. Tapi skali masa habis tution, budak kecik tu datang kat dia, smbil cakap, “Sir, awek Sir ade yang seksi macam ni tak?” sambil menunjukkan gambar2 lucah yang ada dlm HPnye. Kawan saya ni terkejut berukla. Tergamam dia di situ. Ni budak2 sekolah rendah!

Kalau yang kita lihat sekarang adalah remaja Islam, maka bayangkan 5-7 tahun lagi..mereka ini akan menginjak dewasa! Ya,kita akan dikelilingi oleh mereka yang pada zaman remajanya pernah berzina, minum arak dan macam-macam lagi perkara yang tak terbayang dek kepala otak kita. Mereka ini akan bernikah, dan berkeluarga serta bekerja. Boleh anda bayangkan kita dikelilingi oleh masyarakat2 yang seperti ini? Saidina Umar Al-Khattab berkata..kalau nak lihat kekuatan sesebuah negara, lihatlah keadaan remajanya sekarang. Bagaimana remaja kita?
Kebanyakkan Umat Islam rata-ratanya bukan tidak tahu tentang pahala dan dosa. Mereka tahu tetapi buat-buat tak tahu kerana ingin melakukan apa yang disukai oleh hawa nafsu mereka. Allah berfirman dalam surah Aj-jasiah,surah ke 45 ayat ke 23,
Maka pernahkah kamu melihat orang yang menjadikan hawa nafsunya sebagai tuhannya dan Allah membiarkannya sesat dengan ilmu yang mereka ada. Dan Allah telah mengunci pendengaran dan hatinya serta meletakkan tutup atas penglihatannya. Maka siapakah yang mampu memberinya petunjuk setelah Allah membiarkannya sesat? Megapa Kamu tidak mengambil pengajaran?”

Lihat..ayat Allah jelas,mereka bukan tidak berilmu,tetapi sengaja menuruti hawa nafsu. Lalu Allah sendiri MENYESATKAN mereka! Nauzubillah!
Sedarlah saudara-saudara seIslamku..umat Islam kini semakin teruk,sangat teruk. Mereka tidak lagi takut kepada dosa dan pahala. Tugas kita sebagai seorang muslim untuk mengingatkan mereka. Ini adalah untuk melepaskan kita daripada tanggungjawab kita kepada Allah. Sebagaimana firman Allah dalam surah Al-A’raf,surah ke-7 ayat ke-164.
Dan (ingatlah) ketika suatu umat di antara mereka berkata: "Mengapa kamu menasihati kaum yang Allah akan membinasakan mereka atau mengazab mereka dengan azab yang amat keras?" Mereka menjawab: "Agar kami mempunyai alasan (pelepas tanggung jawab) kepada Tuhanmu, dan supaya mereka bertakwa".
Allah juga memerintahkan kita untuk sentiasa memberi peringatan kepada orang yang beriman
Dan tetaplah memberi peringatan, karena sesungguhnya peringatan itu bermanfaat bagi orang-orang yang beriman.
(surah fussilat,surah ke-51 ayat ke 55).

Jadi..tugas kitalah untuk mengubah masyarakat, membina masyarakat, dan akhirnya melahirkan kembali generasi rabbani. Imam Hassan Al-Hudhaibi pernah berkata..”Tegakkanlah daulah Islam di dadamu, nescaya ia akan tertegak di negaramu”. Maksudnya..kalau kita nak kembalikan kegemilangan Islam, pertamanya, tegakkan Islam dalam diri kita dahulu. Kalau setiap orang telah tertegak Islam di dadanya, sudah terbinalah negara Islam. Bukan susah pun. Apa yang kita kena buat, sedarkan kawan2, adik2, abang2 dan kakak2 kita. Macam mana nk buat? Ceritalah apa yang kita paham mengenai keadaan masyarakat sekarang. Smoga dengan itu mereka tersedar dan ingin mengubah diri.

Kalau anda yang sedang membaca ini tak mahu mengambil tahu, rasa tak perlu nk susah pikir pasal org lain, terserah. Jika kita kedekut untuk mengorbankan masa, tenaga dan harta untuk menyedarkan masalah umat ni, kita yang rugi. Firman Allah :
Ingatlah, kamu ini orang-orang yang diajak untuk menafkahkan (hartamu) pada jalan Allah. Maka di antara kamu ada orang yang kikir, dan siapa yang kikir sesungguhnya dia hanyalah kikir terhadap dirinya sendiri. Dan Allah-lah yang Maha Kaya sedangkan kamulah orang-orang yang membutuhkan (Nya); dan jika kamu berpaling niscaya Dia akan mengganti (kamu) dengan kaum yang lain, dan mereka tidak akan seperti kamu (ini).
(Surah Muhammad, surah 47, ayat 38)

Allah akan menggantikan kita yang kedekut ini dengan satu generasi yang tidak akan kedekut macam kita. Mereka ini lebih menyintai Allah dan agamaNya lebih daripada kita dan Allah juga menyintai mereka. Firman Allah:

Hai orang-orang yang beriman, barang siapa di antara kamu yang murtad dari agamanya, maka kelak Allah akan mendatangkan suatu kaum yang Allah mencintai mereka dan mereka pun mencintai-Nya, yang bersikap lemah lembut terhadap orang yang mukmin, yang bersikap keras terhadap orang-orang kafir, yang berjihad di jalan Allah, dan yang tidak takut kepada celaan orang yang suka mencela. Itulah karunia Allah, diberikan-Nya kepada siapa yang dikehendaki-Nya, dan Allah Maha Luas (pemberian-Nya) lagi Maha Mengetahui.
(Surah Al-Maidah,Surah 5, ayat 54)
Jadi sedarlah wahai umat Islam!! Sedarlah Remaja Islam!! Kalau bukan kita yang akan mengembalikan Islam, siapa lagi!!?? Mulakan dengan diri kita! Ya, diri kita! Para sahabat dahulu telah membuktikan mereka mampu menegakkan Islam. Mereka juga remaja. Mengapa tidak kita?
SEDARLAH...

(p/s : Semua kisah dan contoh yang saya bawakan di atas adalah benar-benar belaka)
-Dikarang oleh akh Umair-

Masalah Couple?

01 November 2007

COUPLE ITU HARAM!!!
Tentu ramai yang tertanya-tanya. Tidak kurang juga yang tidak berpuas hati dengan pernyataaan di atas. Ada yang kata hukumnya harus. Mungkin ada yang kata makruh. Sememangnya kenyataan ini menimbulkan banyak kontroversi, lebih-lebih lagi di kalangan muda-mudi sekarang.

Apa Itu Ber’couple’?

Ber’couple’ merupakan suatu tradisi atau budaya yang telah dibudayakan oleh masyarakat remaja kini. Bermula dengan saling berpandangan mata, kemudian turun ke hati. Kemudian mereka akan saling mengutus senyuman dan cinta mula berputik. Bila rasa dah cukup sedia, masing-masing mula ‘masuk line’. Ade yang berbalas-balas nota, bagi yang lebih ‘advance’, teknologi SMS digunakan. Akhirnya apabila dua insan berlawanan jantina ini sudah saling suka-menyukai, mereka akan mengisytiharkan ikatan percintaan mereka dan kemudian ber’couple’.

Pasangan kekasih ini akan merapatkan hubungan mereka serapat-rapatnya. Kalau di kelas, buat study group ataupun group discussion. Bagi yang kreatif, kad-kad ucapan ‘hand made’ yang pelbagai warna dan rupa akan dikirimkan. Bagi yang mengikuti peredaran semasa, teknologi SMS akan dimanfaatkan sepenuhnya. Kata ganti diri pada asalnya aku-kau ditukar kepada saya-awak, atau bagi mereka yang lebih intim, abang-sayang dan sebagainya.

Kalau diperhatikan pasangan-pasangan yang sedang asyik dilamun cinta ini,hidup mereka tidak menentu, diibaratkan ‘makan tak kenyang,tidur tak lena, mandi tak basah’. Ungkapan-ungkapan cinta seperti ‘sayang awak’, ‘love you’, ‘miss you’ dan sebagainya akan menjadi sebahagian ucapan harian mereka. Sentiasa ceria dan tersenyum gembira, mengenangkan Si Dia yang datang bertandang ke hati. Ada pasangan yang serius, sampaikan sanggup berjanji nak sehidup-semati. Sanggup bersumpah, setia hingga ke akhir hayat. Ada juga yang hanya sekadar bermain-main, untuk suka-suka, dan sebagainya. Ringkasnya, pelbagai ragam yang boleh dilihat daripada pasangan yang ber’couple’ ini. Ada yang boleh meneruskan hubungan hingga ke jinjang pelamin dan ada juga yang kecundang di pertengahan perlayaran di lautan percintaan masing-masing.


Mengapa Ber’couple’ Haram?

Ya,mengapa? Sekarang kita kembali kepada persoalan pokok. Di sinilah timbulnya kontroversi di antara kita. Bagi yang ber’couple’, sudah tentu perasaan ingin tahu mereka sangat tinggi dan pelbagai hujah ingin dikeluarkan bagi mempertahankan kesucian cinta mereka itu.

Sebagai seorang muslim, untuk menjawab persoalan ini, kita perlulah merujuk kembali kepada manual kita yang telah digarisi oleh Allah S.W.T. iaitu Al-Quran dan panduan iaitu As-Sunnah yang telah diwasiatkan kepada kita oleh junjungan besar kita Nabi Muhammad S.A.W. yang sepatutnya menjadi pegangan hidup kita.

Ada yang berkata, Allah telah menjadikan makhluk-Nya berpasang-pasangan, lelaki dan perempuan, mengapa tidak boleh bercinta atau ber’couple’? Memang tidak dinafikan,dalam Al-Quran Allah ada berfirman, seperti dalam Surah Yasin(36) ayat 36: “
Maha Suci Tuhan yang telah menciptakan pasangan-pasangan semuanya, baik dari apa yang ditumbuhkan oleh bumi dan dari diri mereka maupun dari apa yang tidak mereka ketahui.” 
Dan juga firman-Nya dalam Surah Al-Hujrat(49) ayat 13: 
“Hai manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kamu dari seorang laki-laki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal mengenal. Sesungguhnya orang yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertakwa di antara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal.”
Meskipun begitu, ayat-ayat ini tidak menjelaskan yang kita boleh mengadakan hubungan percintaan dan berkasih kasihan antara lelaki dan perempuan yang bukan mahram. Banyak larangan Allah dalam Al-Quran yang melarang hubungan-hubungan ini. Percintaan bermula dari mata. Firman Allah, 
“Katakanlah kepada orang laki-laki yang beriman: "Hendaklah mereka menahan pandangannya, dan memelihara kemaluannya; yang demikian itu adalah lebih suci bagi mereka, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang mereka perbuat." Surah An-Nur(24) ayat 30. 
Dalam ayat ini, jelas Allah telah memerintahkan kita supaya kita menjaga pandangan kita daripada memandang perkara-perkara yang dilarang, termasuklah memandang wanita bukan mahram serta wajib bagi kita menjaga nafsu. Perintah ini bukan ditujukan kepada kaum Adam sahaja. Dalam ayat yang seterusnya Allah berfirman, 
“Katakanlah kepada wanita yang beriman: "Hendaklah mereka menahan pandangannya, dan memelihara kemaluannya,...” Surah An-Nur(24) ayat 31. 
Dua ayat dari Surah An-Nur ini sebenarnya terdapat dalam sukatan matapelajaran Pendidikan Al-Quran & Sunnah tingkatan 5. Para pelajar tingkatan 5 sepatutnya lebih jelas akan perkara ini. Daripada ayat ini jelas Allah melarang lelaki dan perempuan bukan mahram daripada saling berpandang-pandangan dengan niat untuk suka-suka, apatah lagi untuk memuaskan hawa nafsu.

Dalil yang lebih kuat menetang hubungan percintaan ini terdapat dalam Surah Al-Israa’(17) ayat 32: 
“Dan janganlah kamu mendekati zina; sesungguhnya zina itu adalah suatu perbuatan yang keji dan suatu jalan yang buruk.” 
Ayat ini memeng cukup popular di kalangan kita. Ramai yang apabila ditegur dengan ayat ini akan menjawab,”Kami tidak berzina. Kami berbual-bual je” , “Kami keluar makan je” dan “Kami main SMS je.” Dan pelbagai 1001 alasan lagi. Para pembaca,sila teliti firman Allah tadi.Dalam ayat ini, Allah melarang kita mendekati zina. Allah menggunakan kalimah ‘walaa taqrobuu’ (jangan hampiri) dan bukannya kalimah ‘walaa ta`maluu’ (jangan melakukan). Ini menunjukkan, walaupun kita hanya mendekati zina, ia sudah pun HARAM! Mungkin ada yang tidak jelas dengan maksud menghampiri di sini. Biar kita ambil contoh, jarak kita dengan dewan adalah 50 meter. Apabila kita melangkah setapak ke arah dewan, jarak antara kita dan dewan adalah 49.8 meter. Inilah dikatakan menghampiri dewan. Jadi, bercinta sebelum kahwin dan ber’couple’ adalah menghampiri zina, dan menghampiri zina adalah HARAM.

Ini adalah dalil-dalil daripada Al-Quran. Bagaimana pula dengan hadis rasul kita, Nabi muhammad S.A.W.? Dalam hadis, baginda rasulullah telah memperincikan jenis-jenis zina. Daripada Abu Hurairah r.a katanya, Nabi S.A.W. bersabda : 
“Sesungguhnya Allah Ta’ala telah menetapkan nasib anak Adam mengenai zina. Tidak mustahil dia pernah melakukannya. Zina mata ialah memandang. Zina lidah ialah berkata. Zina hati ialah keinginan dan syahwat,sedangkan faraj (kemaluan) hanya menuruti atau tidak menuruti.”* Hadis kedua; Daripada Abu Hurairah r.a., dari Nabi S.A.W. sabdanya’ “Nasib anak Adam mengenai zina telah ditetapkan. Tidak mustahil dia pernah melakukannya. Dua mata, zinanya memandang. Dua telinga, zinanya mendengar. Lidah, zinanya berkata. Tangan, zinanya memukul. Kaki, zinanya melangkah. Hati, zinanya ingin dan rindu, sedangkan faraj (kemaluan) hanya mengikuti atau tidak mengikuti.”** 

(Dua hadis di atas adalah sahih dan diriwayatkan oleh 4 orang imam, iaitu Al-Bukhari, Muslim, Ahmad dan Ghayatul-Maram. *Sahih Muslim, hadis ke 2281. **Sahih Muslim, hadis ke 2282)

Daripada dua hadis ini, jelas rasulullah menenyenaraikan bahangian-bahagian zina. Apabila kita memandang Si Dia dengan sengaja,menatapi wajahnya, dan sebagainya, zina mata berlaku. Apabila lidah kita digunakan untuk mengeluarkan kata-kata manis serta puitis, untuk memenangi hati Si Dia, membuatkan Si Dia tertarik kepada kita, lidah berzina. Apabila kita mendengar serta menghayati kelunakkan suaranya, telinga berzina. Apabila berpegangan tangan, berjalan bersama ke arah menghampiri zina, tangan dan kaki berzina. Tetapi, yang paling bahaya ialah, apabila kita merindui Si Dia, memikirkan-mikirkan tentangnya, keacantinkannya, ketampanannya, sifat penyanyangnya, betapa kecintaannya kepada kita, zina tetap berlaku. Biarpun tidak bersua dari segi pancaindera, hati boleh berzina. Tidak mungkin sesuatu hubungan percintaan itu tidak melibatkan penglihatan, percakapan, pendengaran dan perasaan. Sudah terang lagikan bersuluh, percintaan sebelum berkahwin dan ber’couple’ adalah menghampiri zina dan hukumnya adalah HARAM.



Masalah yang melanda golongan remaja sekarang

Apa Yang Patut Dilakukan?

Bagi yang belum terjebak, adalah dinasihatkan jangan sekali-kali menjerumuskan diri ke lembah percintaan. Susah untuk meninggalkan suatu perbuatan maksiat seperti ini setelah merasai kenikmatannya. Silap-silap boleh terlanjur dan langsung tidak dapat meninggalkannya lagi. Bagi yang sudah terjebak, sedang, ataupun yang mula berjinak-jinak dengan percintaan, sedarlah. Segeralah kita meninggalkan perbuatan maksiat yang tidak diredhai lagi dimurkai Allah ini. Tiada gunanya kita terus melakukan dosa demi meneruskan hubungan terlarang ini demi mendapatkan kebahagiaan duniawi yang sementara ini. Hanya satu jalan sahaja yang menghalalkannya iaitu melalui ikatan pernikahan.

Bagi pasangan-pasangan yang benar-benar serius, diingatkan, semakin manis hubungan sebelum berkahwin, semakin tawar hubungan selepas menjadi suami isteri nanti. Lihatlah ibu-bapa serta atuk nenek kita, keutuhan rumah tangga mereka boleh dilihat sehingga kini tanpa melalui zaman percintaan yang diimpikan remaja-remaja kini.
Setiap dari kita tentu mengidamkan pasangan hidup yang baik. Kita tidak mahu pasangan kita seorang yang tidak beriman. Seburuk-buruk perangai manusia, dia tetap menginginkan seseorang yang bain sebagai teman hidupnya. Firman Allah, 
Wanita-wanita yang keji adalah untuk laki-laki yang keji, dan laki-laki yang keji adalah buat wanita-wanita yang keji (pula), dan wanita-wanita yang baik adalah untuk laki-laki yang baik dan laki-laki yang baik adalah untuk wanita-wanita yang baik (pula).” Surah An-Nuur(24) ayat 26
Janji Allah, dia akan mengurniakan kepada lelaki yang baik-baik dengan perempuan yang baik-baik. Begitulah sebaliknya. Allah akan berikan yang baik, denagn syarat, kita juga berusaha menjadi baik serta meilih jalan yang baik serta diredhai-Nya. Bagaimana hendak mendapatkan sebuah keluarga yang bahagia serta diredhai Allah jika pokok pangkal permulaannya sudah pincang, tidak berlandaskan Islam serta tidak diredhai Allah? Mungkin pada mulanya kita menganggap perkara yang kita lakukan ini cukup baik, niatnya baik, caranya pun kita rasakan cukup baik.tetapi sebenarnya, ia adalah rencana syaitan yang membuatkan kita kabur memandang perbuatan yang kita lakukan itu. Firman Allah, 
“Dan setan menjadikan mereka memandang baik perbuatan-perbuatan mereka, lalu ia menghalangi mereka dari jalan (Allah), sedangkan mereka adalah orang-orang yang berpandangan tajam.” Surah Al-‘ankabut(29), ayat 38.

Sebenarnya, dalam Islam, lelaki dan perempuan tdak dibenarkan bergaul terlalu rapat, sehingga menjadi teman karib dan sebagainya. Lelaki tidak boleh mengahampiri perempuan dan perempuan tidak boleh menghampiri lelaki sesuka hati tanpa sebab. Tetapi Islam membenarkan apabila ada keperluan dan tujuan yang benar-benar perlu. Misalnya apabila ditugaskan mengadakan perbincangan dalam kumpulan besar yang melibatkan lelaki dan perempuan atau perlu berbincang mengenai sesuatu yang penting. Untuk berbual-bual kosong atau bergurau senda tanpa tujuan tertentu adalah tidak dibenarkan. Apatah lagi untuk saling meluahkan perasaan dan sebagainya. Cukuplah kaum sejenis sendiri untuk dijadikan teman karib dan tempat berbincang masalah.

Perasaan suka dan cinta adalah dua perkara yang berbeza. Tak salah bagi seseorang lelaki untuk menyukai seseorang perempuan dan seseorang perempuan menyukai seorang lelaki. Tapi, perasaan ini tidak boleh dilayan dan difikir-fikirkan kerana ianya merupakan hasutan syaitan yang membawa kepada zina hati. Sepatutnya apabila kita terfikir mengenai perkara-perkara ini, kita hendaklah menepisnya dan berhenti terus daripada memikirkannya. Firman Allah, 

“Dan jika kamu ditimpa sesuatu godaan setan, maka berlindunglah kepada Allah. Sesungguhnya Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.” Surah Al-A’raf ayat 201.
Para pembaca adalah diingatkan, semua hujah-hujah yang telah diberikan adalah berdasarkan Al-Quran dan As-Sunnah, perintah Allah dan Rasul-Nya. Jika kita menolaknya, sebenarnya kita menolak perintah Allah dan Rasul. Na’uzubillah..
Firman Allah dalam Surah Al-Anfal(8), ayat 20-22, “Hai orang-orang yang beriman, taatlah kepada Allah dan Rasul-Nya, dan janganlah kamu berpaling daripada-Nya, sedang kamu mendengar (perintah-perintah-Nya),(20) dan janganlah kamu menjadi sebagai orang-orang (munafik) yang berkata: "Kami mendengarkan, padahal mereka tidak mendengarkan.(21) Sesungguhnya makhluk bergerak yang bernyawa yang paling buruk pada sisi Allah ialah orang-orang yang pekak dan tuli (tidak mendengar dan tidak memahami kebenaran) yaitu orang-orang yang tidak mengerti.(22). 
Orang yang paling buruk dalam pandangan Allah ialah mereka yang tidak mahu menuruti perintah-perintah Allah. Janganlah kita tergolong dalam golongan ini. Balasan bagi golongan ini ialah neraka jahannam seperti firman Allah dalam Surah Aj-Jaatsiyah(45) ayat 7-11 : 
“Kecelakaan yang besarlah bagi tiap-tiap orang yang banyak berdusta lagi banyak berdosa,(7) dia mendengar ayat-ayat Allah dibacakan kepadanya kemudian dia tetap menyombongkan diri seakan-akan dia tidak mendengarnya. Maka beri kabar gembiralah dia dengan azab yang pedih.(8) Dan apabila dia mengetahui barang sedikit tentang ayat-ayat Kami, maka ayat-ayat itu dijadikan olok-olok. Merekalah yang memperoleh azab yang menghinakan.(9) Di hadapan mereka neraka Jahanam dan tidak akan berguna bagi mereka Sedikit pun apa yang telah mereka kerjakan, dan tidak pula berguna apa yang mereka jadikan sebagai sembahan-sembahan (mereka) dari selain Allah. Dan bagi mereka azab yang besar.(10) Ini (Al Qur'an) adalah petunjuk. Dan orang-orang yang kafir kepada ayat-ayat Tuhannya bagi mereka azab yaitu siksaan yang sangat pedih.(11)”

Akhir sekali, ambillah Islam secara syumul,bukan hanya ambil Islam pada perkara yang disukai, tetapi kita tinggalkan sebahagian yang lain yang tidak sesuai dengan kehendak kita. 
Firman Allah,“ Sesungguhnya orang-orang yang kafir kepada Allah dan rasu-rasul-Nya, dan bermaksud memperbedakan antara (keimanan kepada) Allah dan rasul-rasul-Nya, dengan mengatakan: "Kami beriman kepada yang sebahagian dan kami kafir terhadap sebahagian (yang lain)", serta bermaksud (dengan perkataan itu) mengambil jalan (tengah) di antara yang demikian (iman atau kafir),(150) merekalah orang-orang yang kafir sebenar-benarnya. Kami telah menyediakan untuk orang-orang yang kafir itu siksaan yang menghinakan. (151). Surah An-Nisaa’(4) ayat 150-151. 
Kembalilah ke jalan yang lurus. Tinggalkanlah perkara-perkara maksiat yang telah kita lakukan sebelum ini. Bertaubatlah sementara kita masih ada kesedaran, jangan tunggu sampai kita dibiarkan sesat oleh Allah sehingga hati kita tertutup untuk menerima kebenaran, Surah Aj-Jaatsiah(45) ayat 23, 
” Maka pernahkah kamu melihat orang yang menjadikan hawa nafsunya sebagai tuhannya, dan Allah membiarkannya sesat berdasarkan ilmu-Nya dan Allah telah mengunci mati pendengaran dan hatinya dan meletakkan tutupan atas penglihatannya? Maka siapakah yang akan memberinya petunjuk sesudah Allah (membiarkannya sesat). Maka mengapa kamu tidak mengambil pelajaran?” Memang pada mulanya untuk meninggalkan maksiat-maksiat ini amat susah, tetapi,ia masih wajib kita tinggalkan. Ingatlah Allah berfirman dalam Surah Al-Baqarah(2) ayat 216,” Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu; Allah mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui.”
Sekali lagi ditegaskan, bercinta sebelum berkahwin dan ber’couple’ adalah menghampiri zina. Ia adalah perbuatan yang dilarang dalam Islam dan hukumnya adalah HARAM. Wallahua’lam..

Islam adalah agama yang syumul. Sebuah agama yang lengkap. Islam tidak mungkin menyekat fitrah manusia yang sememangnya ingin menyayangi dan ingin disayangi. Untuk apa Allah menciptakan manusia berfitrah seperti ini jika manusia akan diperintahkan untuk memebunuh fitrahnya itu? Ajaran Islam telah diturunkan oleh Allah untuk memasang bingkai agar kemahuan manusia itu dapat disalurkan dengan cara yang terbaik. Selain itu, Islam menutup rapat jalan kemaksiatan dan membuka seluas-luasnya jalan menuju ketaatan serta memberi dorongan kuat ke arah perlaksanaanya.Rasulullah pernah mengecam salah seorang sahabat yang bertekad untuk tidak bernikah. Ini merupakan salah satu bukti bahawa Islam mengakui fitrah manusia yang ingin cinta-menyintai ini.

Percintaan dalam Islam hanyalah selepas termetrainya sebuah ikatan pernikahan antara dua insan, iaitu setelah bergelar suami isteri. Islam telah menggariskan panduan dalam menuju ke arah gerbang perkahwinan ini. Ustaz Hassan Din telah memberikan pendapatnya mengenai hal ini dalam Al-Kulliyah di TV3 pada 28 Julai 2006, iaitu pada hari Jumaat. Tajuk perbincangan Al-Kulliyah kali itu agak menarik ; Jodoh.
Apabila diminta memberikan pendapat beliau, beliau telah mengatakan yang cara masyarakat sekarang telah lari daripada syariat yang sepatutnya. “Sebenarnya dalam Islam, apabila seseorang lelaki itu telah berkenan dengan seorang wanita dan ingin menjadikan teman hidupnya, sepatutnya lelaki itu berjumpa dengan wali si perempuan tadi untuk menyatakan niatnya untuk masuk meminang. Tetapi masyarakat sekarang silap. Mereka terus berjumpa dengan yang empunya diri dan terus menyatakan niat hatinya. Kemudian mereka bercinta, berjanji sumpah setia dan segala-galanya. Sedangkan ibubapa mereka langsung tidak tahu akan perhubungan mereka ini. Setelah sekian lama bercinta, apabila ingin melangsungkan perkahwinan, emak dan ayah tak bersetuju dengan mengeluarkan pelbagai alasan,” terang beliau.

Beliau juga menerangkan konsep peminangan ini. Kata beliau, “Ibu bapa mungkin sudah ada pilihan mereka sendiri. Oleh itu, dengan menyatakan niat kepada ibubapa, mereka akan berjumpa sendiri dengan wali perempuan tadi untuk mengenali mereka dan calon menantu mereka dengan lebih jelas. Setelah kedua-dua pihak bersetuju, barulah dijalankan upacara peminangan, iaitu kedua-dua insan tadi telah menjadi tunang. Apabila sudah menjadi tunangan orang, adalah Haram perempaun itu dipinang oleh lelaki lain, seperti yang telah dijelaskan oleh Rasulullah dalam hadis baginda. Dalam masa pertunangan inilah kedua-dua pihak lelaki dan perempuan tadi akan saling mengenali antara satu-sama lain, bagi memastikan adakah ini merupakan pasangan hidupnya yang sebenar. Jika kedua-duanya sudah bersetuju, barulah pernikahan dilangsungkan,” jelas beliau lagi.

Namun begitu, Ustaz Hassan Din menegaskan bahawa bertunang bukan merupakan lesen yang membenarkan kedua-dua pasangan bermesra-mesra seperti suami isteri. Bertunang hanyalah untuk saling mengenali antara satu sama lain dan bukannya untuk bercinta. Pasangan yang telah bertunang tetap tidak boleh keluar berdua-duaan tanpa ditemani oleh ahli keluarga. Selagi belum bernikah, mereka tetap dua insan yang bukan mahram dan masih perlu manjaga batasan-batasan Islam seperti yang telah dibincangkan sebelum ini. Dan jika dalam tempoh pertunangan itu didapati kedua-dua pasangan ini tidak secocok atau tidak serasi, maka pertunangan bolehlah diputuskan secara baik melalui persetujuan kedua-dua belah pihak.

Lihat, betapa indahnya Islam mengaturkan perjalanan hidup penganutnya. Cukup teratur dan sitematik. Cara ini dapat mengelakkan daripada berlakunya maksiat dan perkara-perkara lain yang tidak diingini. Dalam masa yang sama, ia menuju kepada pembentukan keluarga bahagia yang diidamkan oleh manusia serta diredhai oleh Allah. Inilah percintaan dalam Islam, iaitu selepas perkahwinan. Insya-Allah kalau segalanya dilakukan dengan niat ikhlas kerana Allah dan bukan atas dasar nafsu dan keduniaan semata-mata, Allah akan mempermudah urusan kita itu.

Untuk kita yang masih menimba ilmu, tidak perlulah bersusah-susah mencari jodoh sekarang. Jodoh di tangan Allah, pasti bertemu jua dengan taqdirnya. Sekarang kita mempunyai matlamat yang lebih penting iaitu mendapatkan kecemerlangan dalam pelajaran dan menunaikan tanggungjawab kita sebagai muslim. Banyak lagi tanggungjawab yang perlu kita pikul dan bercinta bukanlah sesuatu yang perlu buat masa sekarang. Berusahalah menjadi muslim dan muslimah sejati serta mengamalkan Islam dalam kehidupan kita. Sekali lagi ditegaskan, bercinta sebelum berkahwin dan ber’couple’ adalah menghampiri zina dan hukumnya adalah HARAM.

 
Foto saya
Pemuda Kelantan, Control System Engineer di sebuah Syarikat Minyak dan Gas. seorang musafir mencari bekalan amal untuk meraih Husnul Khatimah, kerana pengakhiran yang baik akan mendapat sesuatu yang baik di sana..hidup untuk mencari keredhaan Allah s.w.t "Tidak aku jadikan jin dan manusia itu melainkan hanyalah untuk beribadah kepadaKu"-51:56

Pengikut

Popular Posts